Kanak-Kanak Lelaki Hilang, Dikhuatiri Dibaham Buaya Ketika Mandi Laut Di Felda Sabahat 16

Kanak-Kanak Lelaki Hilang, Dikhuatiri Dibaham Buaya Ketika Mandi Laut Di Felda Sabahat 16

Seorang kanak-kanak lelaki berumur 10 tahun dikhuatiri dibaham buaya selepas hilang secara tiba-tiba ketika mandi laut di Kampung Sinakut Felda Sahabat 16, di sini semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu kira-kira jam 7.18 malam.

“Berdasarkan maklumat daripada pemanggil terdapat seorang kanak-kanak hilang di laut ketika mandi bersama rakannya dan disyaki dibaham buaya.

“Semalam, kita hanya mendapatkan maklumat berkaitan mangsa dan keadaan lokasi bagi tujuan perancangan operasi pagi ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Borneo, di sini pagi tadi.

Menurut Sumsoa pihaknya menghadapi kekangan dari segi jarak dan keluasan operasi yang akan dijalankan.

“Pasukan bomba terpaksa menarik bot sejauh lebih 150 kilometer yang akan mengambil masa lebih kurang empat jam untuk tiba di lokasi kejadian.

“Bagaimanapun, pasukan bomba akan berusaha mengatur operasi berdasarkan kekuatan anggota dan jentera yang ada,” katanya.

Sumsoa berkata, seramai empat pegawai dan anggota bomba bersama jentera FRV serta Bot Aluminium digerakkan ke lokasi kejadian kira-kira jam 7.40 pagi tadi.

“Maklumat terkini kejadian itu akan dikemas kini dari semasa ke semasa,” katanya.

Berita Penuh : https://www.utusanborneo.com.my/2021/12/05/kanak-kanak-10-tahun-dikhuatiri-dibaham-buaya