Kes Pertama Kes Covid-19 Varian Omicron Di Sabah Dikesan Di Tawau

Kes Pertama Kes Covid-19 Varian Omicron Di Sabah Dikesan Di Tawau

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Masidi Manjun berkata, satu kes import varian Omicron dilaporkan di Tawau semalam, yang merupakan kes pertama dikesan di negeri itu.

Katanya, pesakit merupakan seorang warganegara yang menunaikan umrah di Arab Saudi bersama isterinya dari 9 hingga 18 Dis lalu dan kembali ke tanah air pada 19 Dis melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Beliau berkata, lelaki itu bersama isterinya tiba di Tawau pada 20 Dis dan diarah menjalani kuarantin di rumah, sebelum keputusan ujian jujukan penuh (WGS) pada 4 Jan menunjukkan beliau positif varian Omicron.

“Isteri pesakit juga sedang menjalani kuarantin pada masa sama dengan suami dikesan positif Covid-19 melalui ujian PCR pada 24 Dis, namun keputusan WGS isterinya masih dalam ujian di Institut Penyelidikan Perubatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Masidi yang juga jurucakap Sabah berkaitan Covid-19 berkata, pasangan suami isteri itu lengkap divaksin seawal Jun 2021.

Katanya, keadaan mereka berdua sihat dan semasa disahkan positif Covid-19, lelaki itu dalam Kategori 2 dan isterinya Kategori 1.

“Mereka berdua telah selesai menjalani kuarantin pada 1 Jan lalu dan pulih daripada jangkitan virus Covid-19.”

Terdahulu, Masidi berkata, jumlah kes harian Covid-19 di Sabah terus meningkat dengan 280 kes baharu dicatatkan hari ini berbanding 259 kes semalam.

Berita Penuh : https://www.sabahpost.net/2022/01/05/kes-omicron-pertama-di-sabah-dikesan-di-tawau/

COMMENTS