Lelaki Didakwa Edar Dadah Lebih 300kg Di Tawau

Lelaki Didakwa Edar Dadah Lebih 300kg Di Tawau

Seorang lelaki dihadapkan di Mahkamah Majistret, di sini, semalam atas pertuduhan mengedar lebih 300 kilogram dadah jenis syabu.

Tertuduh berumur 49 tahun didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 7.30 malam di kawasan Kampung Batu Payung, dekat sini, pada 6 September lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Tawau Amir Shah Amir Hassan.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa mengedar dadah berbahaya jenis methamphetamine seberat 303,155.91 gram.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 39B(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 39B(2) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dijatuhkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dengan tidak kurang daripada 15 sebatan.

Amir Shah menetapkan 29 November depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia dan permohonan dari pendakwa raya untuk kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Asisten Superintenden Dayang Nur Azarinawaty Ag Kachee manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tertuduh sebelum ini dihadapkan ke mahkamah untuk pertuduhan kali pertama pada 20 September lalu namun prosiding tidak diteruskan kerana keputusan ujian saringan COVID-19 tertuduh positif.

Sebelum ini, Utusan Borneo melaporkan tangkapan dadah terbesar dalam sejarah Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sabah yang bernilai hampir RM11 juta.

Berita Penuh : https://www.utusanborneo.com.my/2021/10/13/lelaki-didakwa-edar-dadah-lebih-300kg

COMMENTS