Luluh Hati Seorang Ibu Lihat Rangka, Tulang Anak Dan Menantu Dikutip Anggota Bomba

Luluh Hati Seorang Ibu Lihat Rangka, Tulang Anak Dan Menantu Dikutip Anggota Bomba

Luluh hati seorang ibu apabila melihat anggota bomba mengutip satu persatu tulang dan rangka anak lelaki serta menantunya yang rentung dalam kebakaran di Kampung Buaya, Jalan Tawau Lama, di sini, tengah malam tadi.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah malam itu, mayat Saiful Rosli, 32, ditemui berdekatan dengan pintu hadapan manakala isterinya, Jumaidah M Jida, 36, ditemui di ruang dapur di rumah sewa mereka oleh pasukan bomba antara jam 4.45 hingga 5.50 pagi.

Ibu mangsa, Sunarti Kuneng, 54, berkata, ketika kejadian dia sedang tidur di rumahnya yang terletak di kampung bersebelahan sebelum dimaklumkan jiran.

“Melihat keadaan api yang sudah besar ketika itu, saya hanya terfikir keselamatan anak serta menantu sebelum bertindak mencari mereka sekitar tempat kejadian.

“Selesai menunaikan solat Subuh, saya masih berusaha mencari mereka namun gagal.

“Bagaimanapun, sebaik melihat motosikal anak yang turut hangus menguatkan lagi naluri hati yang mengatakan anak saya kemungkinan terperangkap di dalam rumah,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini.

Dia berkata, tiada yang lebih menyedihkan apabila melihat anggota bomba menemukan jasad anak serta menantunya rentung sebaik operasi memadam kebakaran selesai.

“Saya kehilangan anak lelaki yang saya sifatkan sebagai amat bertanggungjawab kerana selama ini dia tempat saya bergantung selepas kematian ayahnya,” katanya.

Sementara itu, kakak mangsa, Rafida M Jida, 38, berkata pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 2014 serta belum mempunyai anak dan tinggal menyewa di situ.

“Saya dapat tahu kejadian ini malam tadi sebelum datang ke sini pagi ini. Kami masih terkejut dan tidak menyangka ditimpa ujian berat ini,” katanya. – HMetro

Berita Penuh : https://www.sabahpost.net/2022/01/09/luluh-hati-ibu-lihat-rangka-anak-lelaki-menantu/

COMMENTS