Pemandu e-Hailing Disamun Dua Lelaki Di Kampung Likas

Pemandu e-Hailing Disamun Dua Lelaki Di Kampung Likas

Polis sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian samun membabitkan seorang pemandu e-hailing dan dua penumpangnya di Lorong Burung Keleto, Kampung Likas di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata kejadian berlaku apabila pemandu berumur 25 tahun mengambil kedua-dua suspek di tepi Jalan Tanjung Lipat, berhampiran Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) kira-kira jam 12.20 tengah malam.

“sebaik sampai di lokasi kejadian, salah seorang suspek mendakwa mahu mengambil wang di dalam rumah manakala seorang lagi suspek menunggu di dalam kereta.

“Secara tiba-tiba, suspek di dalam kenderaan terus meletakkan senjata tajam pada leher mangsa dan mengarahkannya supaya menyerahkan barang berharga kepadanya,” katanya.

Menurutnya mangsa mengelak sebelum berlaku sedikit pergelutan menyebabkan suspek terus bertindak agresif kepada mangsa.

“Mangsa yang tiada pilihan terpaksa menyerahkan barangan kepada suspek sebelum suspek melarikan diri ke arah kebun pisang berdekatan.

“Mangsa terselamat tanpa sebarang kecederaan dan meninggalkan tempat kejadian sebelum membuat laporan polis,” katanya.

Menurutnya siasatan lanjut giat dijalankan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Berita Penuh : https://www.utusanborneo.com.my/2021/10/23/pemandu-e-hailing-disamun-dua-lelaki

COMMENTS