PH Gagal Tunai Janji, PN Si Pelompat Parti, Kata Bung Mokhtar

PH Gagal Tunai Janji, PN Si Pelompat Parti, Kata Bung Mokhtar

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Bung Moktar Radin berkata, Barisan Nasional (BN) lebih berpeluang menguasai pilihan raya negeri (PRN) Melaka berbanding Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

Katanya, PH didakwa tidak disukai pengundi kerana gagal menunaikan janji selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14) lalu, selain PN lebih dilihat sebagai pelompat parti.

“BN lebih berpeluang untuk menguasai PRN (Melaka) kali ini berbanding dengan PH yang gagal menunaikan janji selepas PRU14 lalu.

“PN yang dilihat terdiri daripada ramai pelompat parti didakwa tidak disukai pengundi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bung yang juga Pengerusi Umno Sabah berkata, rakyat dapat melihat selama berdekad-dekad bahawa BN terbukti berjaya mentadbir negara dengan baik untuk kestabilan politik dan ekonomi serta memulihkan negara daripada krisis.

“Berlandaskan kejayaan dan kecekapan BN menjaga kestabilan politik dan mengurus ekonomi negara sebelum ini, tidak ada sebab bagi rakyat Melaka menolak BN pada PRN kali ini,” katanya.

Bung turut berada di Melaka hari ini bagi mengiringi calon BN di Telok Mas, Abdul Razak Abdul Rahman ke pusat penamaan calon di Kompleks Komuniti Desa (KKD), Melaka Tengah, pagi tadi.

Sementara itu, Bung berkata, langkah BN menampilkan 21% calon muda pada PRN di Melaka membuktikan parti itu serius dalam usaha meremajakan parti.

Katanya, beliau yakin calon muda yang terpilih mampu memberi saingan kepada calon lain dan mampu menggalas amanah serta tanggungjawab sekiranya terpilih menjadi wakil rakyat.

“Keputusan ini satu perkembangan baik untuk parti kerana kebanyakan calon muda yang dipilih mempunyai latar belakang yang berbeza selain berpendidikan, ada dari kalangan profesional seperti doktor dan sebilangannya adalah calon yang dihasilkan dari kilang Pemuda,” katanya. – FMT

Berita Penuh : https://www.sabahpost.net/2021/11/08/ph-gagal-tunai-janji-pn-si-pelompat-parti-kata-bung/

COMMENTS