Polis Sabah Giat Buru Suspek Kes Tikam Sebabkan Kematian Di Penampang

Polis Sabah Giat Buru Suspek Kes Tikam Sebabkan Kematian Di Penampang

Polis giat memburu seorang lelaki yang terlibat dalam kes bunuh di sebuah pusat hiburan di Penampang Baru di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata suspek dikenalpasti sebagai Kaw Yung Chee, 35 dan beralamat di Kota Kinabalu.

“Kejadian awal berlaku apabila pasukan polis mendapat laporan berlaku kes tikam membabitkan seorang lelaki di pusat hiburan berkenaan.

“Hasil siasatan mendapati mangsa mengalami kecederaan parah akibat ditikam objek tajam dan dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk mendapatkan rawatan.

“Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia pada jam 8.38 pagi oleh pegawai perubatan bertugas disebabkan kesan tikaman objek tajam,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Haris berkata suspek kini sudah dikenalpasti berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.

“Sehubungan itu pihak polis meminta bantuan orang ramai yang mempunyai maklumat suspek agar segera berhubung dengan balai polis berdekatan.

“Polis sudah membuka kertas siasatan berhubung kes ini mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Beliau juga menasihatkan orang awam agar tidak menyebarkan maklumat tidak sahih sehingga boleh menimbulkam kegusaran serta menganggu siasatan.

Berita Penuh : https://www.utusanborneo.com.my/2022/01/04/polis-buru-suspek-kes-tikam-di-pusat-hiburan

COMMENTS