Polis Tembak Kereta Dipandu Warga Asing Di Menggatal

Polis Tembak Kereta Dipandu Warga Asing Di Menggatal

Lelaki warga asing yang bertindak agresif termasuk hampir merempuh anggota polis ketika cuba melarikan diri berjaya ditahan di Manggatal, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 2 petang, polis terpaksa melepaskan dua tembakan ke arah tayar Perodua Myvi dipandu suspek berusia 20-an terbabit.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Superintendan George Abd Rakman berkata, pihaknya menjalankan operasi ‘Op Tapis’ selepas mengesyaki terdapat kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah di kawasan berkenaan.

Katanya, ketika cuba ditahan untuk pemeriksaan, suspek enggan memberi kerjasama dan bertindak agresif dengan merempuh kenderaan pasukan polis beberapa kali.

“Suspek turut cuba melanggar anggota polis dari arah hadapan, namun sempat dielakkan sebelum dua das tembakan dilepaskan ke tayar hadapan kiri dan kanan kereta suspek bagi mempertahankan diri.

“Lelaki itu berjaya melarikan diri, namun kenderaannya hanya mampu bergerak sejauh 120 meter daripada tempat kejadian sebelum ditahan,” katanya ketika dihubungi, di sini.

Katanya, pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan dua paket plastik lutsinar berisi ketulan hablur kristal disyaki syabu dengan berat kasar keseluruhan sebanyak 100 gram.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Kejadian berkenaan sempat dirakam oleh orang awam yang berada di lokasi kejadian sebelum tular di laman sosial.

Kejadian itu turut menerima pelbagai komen daripada netizen termasuk memuji tindakan dan kecekapan polis sehingga dapat memberkas suspek. – HMetro

Berita Penuh : https://www.sabahpost.net/2021/10/11/polis-tembak-kereta-dipandu-warga-asing-di-menggatal/

COMMENTS