Projek Pan Borneo Tawau – Semporna Siap Oktober Tahun Depan

Projek Pan Borneo Tawau – Semporna Siap Oktober Tahun Depan

Projek Pan Borneo menaik taraf jalan Tawau – Semporna kepada dua hala sepanjang lima kilometer yang menelan kos lebih RM63 juta itu dijangka siap pada 29 Oktober tahun depan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balung, Hamild Awang berkata pihaknya sangat berterima kasih kepada kerajaan kerana memberikan peruntukan untuk menyambung semula projek tersebut.

“Projek itu adalah perancangan pihak kerajaan melalui pembangunan lebuhraya Pan Borneo Sabah dan sudah dimulakan sejak 30 Julai lalu selepas terbengkalai lebih dua tahun.

“Mengikut kontrak, projek yang bernilai RM63,769,088.96 itu dijangka siap pada bulan Oktober tahun depan,”katanya ketika ditemui dalam lawatannya ke tapak projek tersebut, di sini semalam.

Menurutnya, projek tersebut bukan sahaja memberikan manfaat kepada penduduk di daerah ini, tetapi ia juga kemudahan untuk pengguna jalan raya di daerah berdekatan seperti Semporna, Kunak dan Lahad Datu.

Hamild berharap pihak kontraktor dapat melaksanakan projek itu mengikut spesifikasi agar prasarana tersebut berkualiti dan selamat digunakan oleh semua pengguna jalan raya.

“Saya tekankan supaya pihak kontraktor memberikan perhatian terhadap sistem perparitan kerana ia boleh memberikan kesan sampingan kepada jalan tersebut sekiranya tidak diurus dengan baik.

“Kita tidak mahu pembinaan jalan tersebut menyebabkan berlakunya perkara tidak diingini seperti banjir kilat yang boleh menjejaskan penempatan di kawasan berhampiran,”katanya.

Dalam pada itu, Hamild berkata dia sangat berpuas hati dengan kerja-kerja pembinaan yang dilakukan oleh pihak kontraktor sejak beberapa bulan ini.

“Melalui taklimat daripada Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Tawau dan lawatan ditapak projek, saya sangat berpuas hati.

“Saya berharap projek tersebut dapat disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan supaya pengguna jalan raya di daerah ini dapat menikmatinya dengan segera,”katanya.

Sementara itu, Jurutera Bahagian JKR Tawau, Ir Aishahturizdah Ashgul berkata perjalanan projek tersebut sangat positif dan kontraktor menjalankan kerja mengikut spesifikasi yang ditetapkan.

“Projek tersebut sudah dilaksanakan dalam 0.56 peratus dan dua hari lebih awal daripada jadual kerja yang telah disusun.

“Saya berharap pihak kontraktor dapat mengekalkan prestasi kerja mereka dan menyiapkan projek tersebut mengikut tarikh yang sepatutnya,”katanya.

Berita Penuh : https://www.utusanborneo.com.my/2021/10/13/projek-pan-borneo-jalan-tawau-semporna-siap-oktober-tahun-depan

COMMENTS