Sabah Bakal Mempunyai Skytrain Menghubungkan LTAKK Ke UMS

Sabah Bakal Mempunyai Skytrain Menghubungkan LTAKK Ke UMS

Sabah bakal mempunyai Sistem Transit Pantas (RTS) pertama dengan meterainya satu Memorandum Persefahaman (MoU) diantara WHSB Ventures Sdn Bhd (WVSB), Vizione Construction Sdn Bhd, Sycal Skycity Sdn Bhd dan Guangcai China (M) Sdn Bhd.

WVSB Sdn Bhd adalah anak syarikat Qhazanah Sabah Bhd (QSB), dengan MoU berkenaan projek bernilai bilion ringgit itu akan melihat perkhidmatan Skytrain akan menghubungkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) ke Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerusi laluan di Pusat Bandar.

Wakil empat syarikat hari ini telah berjaya meterai MoU untuk menerokai pelaksanaan projek berkenaan.

“Objektif MoU ini adalah untuk mewujudkan kerjasama formal dan kerjasama berkaitan dengan penyediaan serta pelaksanaan projek.

“Kerjasama ini akan membawa kepada perbincangan diperingkat akhir iaitu persetujuan yang mengikat kerjasama diantara semua pihak,” WVSB Sdn Bhd berkata demikian selepas Majlis MoU di sini, hari ini.

Katanya, projek mega itu akan dilaksanakan dalam dua fasa. Fasa pertama melibatkan bahagian pertama Skytrain dan juga 64 hektar pembangunan campur komersial untuk dibangunkan sepanjang Teluk Likas.

Menurutnya, fasa pertama Skytrain akan melibatkan laluan sejauh 10.5 kilometer (KM) dari LTAKK ke pusat bandar dan juga pembangunan campur yang dikenali Jesselton New City.

WVSB berkata, fasa pertama Skytrain akan dibina dalam tempoh masa tiga tahun dengan jangkaan kos hampir RM1 bilion. Ia akan dijana oleh sekumpulan pelabur.

“Skytrain akan bermula di LTAKK melalui KK Central terminal, Terminal Gaya Street sebelum berakhir di Terminal Jesselton New City.

“Cadangan asal untuk syarikat pengurusan konsesi untuk operasi perkhidmatan Skytrain menerusi Syarikat Tujuan Khas (SPV) di mana pegangan dalam entiti itu hendaklah dalam bentuk saham percuma dan hendaklah dimiliki oleh Kerajaan Sabah. Ini akan diwujudkan pada peringkat seterusnya,” kata WVSB.

Selain itu, Pembangunan Jesselton New City dijangkakan akan memakan kos bernilai RM5 bilion dan dijangka siap dalam enam tahun.

Fasa kedua Skytrain yang akan dikenali sebagai LTAKK Express Line 2 akan merangkumi laluan sejauh 15KM dari Terminal Pusat Jesselton ke Pusat Pentadbiran Kerajaan Negeri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Pusat, UMS dan berakhir di Pusat Komersial Alamesra dan kawasan perumahan

LTAKK Express Line 2 dijangka memakan kos bernilai RM1.425 bilion dan akan dilaksanakan menerusi Inisiatif Kewangan Swasta (PFI).

Hadir sama menyaksikan MoU berkenaan ialah Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Berita Penuh : https://www.utusanborneo.com.my/2021/11/29/sabah-bakal-mempunyai-skytrain-menghubungkan-ltakk-ke-ums

COMMENTS