Sabah Negeri Paling Banyak Masjid Di Malaysia

Sabah Negeri Paling Banyak Masjid Di Malaysia

Sabah terus unggul apabila bukan sahaja negeri yang paling banyak masjid di negara ini, malah merekodkan bilangan masjid baharu tertinggi dibuka sepanjang tahun lepas.

Perangkaan terkini Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) disiarkan menerusi laman sesawang rasmi agensi itu awal bulan ini menunjukkan lima masjid baharu kini beroperasi di Sabah menjadikan jumlah keseluruhan 1,077 masjid sepanjang tahun lalu berbanding 1,072 buah (2020) dan hanya 1,045 (2019).

Bilangan tersebut menurut Jakim, membabitkan sebuah masjid yang bertaraf negeri di Kota Kinabalu, 10 buah masjid kerajaan, 21 buah masjid daerah dan baki 1,045 buah masjid kariah.

Penduduk Sabah berjumlah lebih 3.3 juta orang dengan majoriti besar 2.2 juta Muslimnya terdiri daripada kalangan etnik Bajau diikuti Melayu, Kadazan Dusun, Murut dan Bumiputera lain.

Pertambahan masjid di negeri tersebut dipercayai ekoran permintaan tinggi dalam kalangan umat Islam untuk ibadah solat fardu berjemaah selain aktiviti dakwah kepada komuniti tempatan.

Secara statistik, sebanyak 17 buah masjid baharu dibina di seluruh Malaysia sepanjang tahun lepas dengan Kedah muncul kedua tertinggi iaitu empa diikuti Perak pula tiga selain Perlis dan Kuala Lumpur masing-masing menambah dua masjid baharu serta Melaka (1).

Berdasarkan perangkaan itu, Malaysia ketika ini mempunyai 6,514 buah masjid yang meliputi 19 masjid bertaraf negeri, 76 masjid kerajaan, 168 berstatus daerah dan 6,251 masjid kariah.

Johor kekal sebagai negeri kedua terbanyak masjid iaitu 822 buah disusuli Perak (652), Pahang (630), Kelantan (584), Kedah (581), Terengganu (484), Selangor (421) dan Sarawak (369). Putrajaya pula masih sedikit masjid iaitu tiga buah diikuti Labuan (15), Kuala Lumpur (69), Perlis (101), Melaka (195), Pulau Pinang (213) dan Negeri Sembilan (298).

Utusan Online minggu lalu melaporkan bilangan surau merosot teruk di Negeri Sembilan, Kedah, Perak dan Terengganu, namun jumlahnya secara keseluruhan bertambah seluruh negara sekali gus menunjukkan terdapat 18,261 buah surau di Malaysia untuk awal tahun ini dengan Selangor kekal sebagai terbanyak premis ibadah tersebut iaitu berjumlah 2,170 buah.

Ini diikuti Kedah sebanyak 2,082 buah, Johor (2,042), Perak (1,970), Terengganu (1,848), Pahang (1,747), Sabah (1,176), Kelantan (1,077), Negeri Sembilan (1,073) dan Sarawak (832). Paling sedikit surau pula ialah Wilayah Persekutuan Labuan dengan hanya 43 buah, disusuli Putrajaya (111), Perlis (205), Kuala Lumpur (518), Pulau Pinang (554) dan Melaka (813). – Utusan

Berita Penuh : https://www.sabahpost.net/2022/01/13/sabah-kekal-negeri-paling-banyak-masjid-di-malaysia/

COMMENTS