Suspek Lolos Dari DTI Papar Ditahan Ketika Berpakaian Wanita

Suspek Lolos Dari DTI Papar Ditahan Ketika Berpakaian Wanita

Seorang lagi suspek yang melarikan diri dari Depoh Tahanan Imigresen (DTI) Papar, di sini, pada Rabu lalu, berjaya ditahan di pantai Kampung Gusi, di sini, hari ini.

Dalam kejadian 3.15 petang, lelaki yang berasal dari Filipina terbabit didapati memakai pakaian perempuan dipercayai cuba meloloskan diri keluar dari daerah Papar.

Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superintendan Batholomew Ak Umpit berkata, penahanan lelaki berusia 35 tahun itu menjadi suspek yang masih diburu adalah seramai empat orang.

Katanya, operasi memburu mereka yang masih bebas diteruskan di beberapa lokasi sekitar daerah berkenaan.

“Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar akan meneruskan usaha memburu suspek yang masih bebas dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Pasukan Gerakan Udara (PGU), Unit Anjing Pengesan K9 dan Pasukan Polis Marin (PPM).

“Penahanan semua 10 individu terbabit menjadikan suspek yang masih bebas adalah seramai empat orang,” katanya ketika dihubungi, di sini.

Batholomew berkata, suspek yang masih bebas dikenali sebagai Nadzwin Usman, Herman Bilau, Husin Japar dan Pertama Lapanji berusia 24 hingga 43 tahun.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Bilik Gerakan IPD Papar di talian 088-912222 dan 088-916064 atau balai polis berhampiran,” katanya.

Dalam kejadian Rabu lalu, seramai 14 tahanan melarikan diri pada 3.30 pagi dengan merosakkan siling tandas pusat tahanan berkenaan sebelum memotong jeriji pagar.

Bagaimanapun, tujuh daripada 14 tahanan berjaya ditahan semula pada hari sama, manakala dua lagi ditahan semalam. – HMetro

Berita Penuh : https://www.sabahpost.net/2021/11/12/suspek-lolos-dari-dti-papar-ditahan-ketika-berpakaian-wanita/

COMMENTS