Tiga Pesakit Mental Lari Dari Hospital Bukit Padang, Panjat Tembok Belakang Hospital

Tiga Pesakit Mental Lari Dari Hospital Bukit Padang, Panjat Tembok Belakang Hospital

Tiga lelaki pesakit mental Hospital Mesra Bukit Padang, di sini melarikan diri dengan memanjat tembok di belakang wad di hospital berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, tiga pesakit yang menerima rawatan di hospital terbabit dikenali sebagai Mohd Azrul Dorah, 28; Mohamed Hidswan Jumalti, 34 dan Mohammad Sobrie Muali, 32 tahun.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, kejadian disedari kakitangan hospital selepas melihat kelibat pesakit yang sedang memanjat tembok di belakang wad dipercayai bertindak melarikan diri.

Katanya, menyedari perkara itu, kakitangan hospital terus memaklumkan kepada rakan sekerja bagi mendapatkan bantuan pengawal keselamatan untuk menangkap pesakit terbabit.

“Bagaimanapun, semua pesakit terbabit gagal ditemui walaupun usaha mencari dilakukan di kawasan hospital,” katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Katanya, siasatan awal mendapati, Mohd Azrul dimasukkan ke Hospital Mesra pada 17 November lalu atas kesalahan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala Mohamed Hidswan dan Mohammad Sobrie dimasukkan ke hospital pada 30 November lalu dan 1 Disember lalu atas kesalahan Seksyen 39C.

“Semua pesakit yang melarikan diri merupakan tahanan yang terbabit dalam kes narkotik dan dimasukkan ke Hospital Mesra, Bukit Padang atas arahan Mahkamah mengikut Seksyen 342 CPC kerana disyaki mempunyai masalah mental dan diarahkan menjalani rawatan sebelum dihadapkan kembali ke mahkamah,” katanya.

Mohd Zaidi berkata, ketika melarikan diri kesemua suspek memakai baju hijau dan berseluar pendek hijau.

“Orang ramai yang melihat suspek atau mempunyai maklumat kes ini segera menghubungi pegawai Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu atau 088-529222,” katanya.

Berita Penuh : https://www.astroawani.com/berita-malaysia/tiga-pesakit-mental-lari-dari-hospital-334557

COMMENTS