Vaksin Tidak Buat Anda Kebal, kata Masidi

Vaksin Tidak Buat Anda Kebal, kata Masidi

Jurucakap Covid-19 Sabah Masidi Manjun bimbang dengan ketidakpatuhan SOP selepas kebanyakan jangkitan harian bulan ini melibatkan golongan lengkap vaksin.

Masidi, yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata jumlah kes yang dilaporkan dalam tempoh 24 jam lepas turut menggambarkan ketidakpatuhan itu.

Beliau berkata 66.8% daripada 497 jangkitan baharu melibatkan golongan yang sudah lengkap vaksin.

“Angka yang tinggi itu amat membimbangkan kerana ia menunjukkan sikap tidak ambil peduli dan cuai sebahagian besar mereka yang telah lekap vaksin mematuhi SOP yang ditetapkan,” katanya dalam laporan analisis Covid-19 hari ini.

“Golongan itu mungkin menganggap mereka sudah kebal daripada virus, tetapi hakikatnya mereka tidak.”

Beliau berkata vaksin itu semata-mata melindungi mereka yang dijangkiti virus daripada mengalami gejala serius dan memerlukan rawatan intensif di hospital.

“Ini terbukti selepas 98% kes hari ini hanya melibatkan pesakit yang mengalami simptom Kategori 1 dan 2.

“Tetapi tidak kira kategori mana mereka berada semua pesakit masih menjadi pembawa virus dan mereka berpotensi menjangkiti ahli keluarga mereka di rumah,” kata Masidi.

Data kesihatan yang dikongsi Masidi secara konsisten menunjukkan bahawa golongan divasin penuh menyumbang lebih separuh daripada jangkitan harian setiap hari sejak 1 Nov.

Setakat semalam, 2,072,134 (atau 75.12%) penduduk dewasa Sabah telah melengkapkan vaksinasi mereka manakala 298,110 (68.69%) remaja telah melakukan perkara yang sama.

Jelasnya, 497 kes hari ini sebenarnya menurun daripada 611 kes yang dicatatkan pada hari sebelumnya walaupun jangkitan di Sabah turun naik sepanjang minggu lalu.- FMT

Berita Penuh : https://www.sabahpost.net/2021/11/13/vaksin-tidak-buat-anda-kebal-kata-masidi/

COMMENTS